Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang…
Sebetulnya yatim zaman sekarang itu…
Si anak yang punya ibu, namun tiada peduli
Dan punya ayah, namun sibuk tak henti-henti…
Status seorang kakak (guru sekolah praktikum saya dahulu) di Facebook baru-baru ini membuatkan saya berfikir. Ringkas apa yang ditulisnya dan definisi yang dia berikan tentang maksud yatim itu bercanggah dengan Kamus Dewan Edisi Keempat, tapi ada benarnya kata-kata dia.
Siapa yang boleh menafikan anak-anak sekarang ramai yang dibiarkan “hidup sendiri” tanpa kasih sayang, belaian, pantauan, didikan dan kawalan daripada ibu bapa. Ilmu keibubapaan tidak dipraktikkan sepenuhnya, fungsi mereka seolah-olah untuk melahirkan dan memberi wang saku. Tugas-tugas lain, gurulah yang menanggungnya. Pelajar-pelajar di sekolah yang saya bertugas sekarang juga ramai yang begitu.
Saya cuba selidik apa punca sebenar beberapa orang pelajar saya mempunyai masalah akhlak dan disiplin yang teruk. Melalui perbualan, maklumat yang saya perolehi tentang kehidupan harian mereka ialah ibu bapa bekerja, keluar pada waktu pagi dan pulang pada waktu malam. Dalam keadaan keletihan, ibu bapa ini langsung tidak bertanya aktiviti harian si anak dan perkembangan akademiknya di sekolah. Hasilnya, pelajar-pelajar ini tidak faham akan kepentingan menuntut ilmu di sekolah. Mereka tidak sedar waktu terluang yang ada di rumah mesti diisi dengan kegiatan-kegiatan berfaedah. Maka lahirlah generasi yang rendah akhlak dan tiada kualiti akademiknya.
Saat anak-anak ini terjebak dalam kancah cinta, bila ada anak gadis yang disahkan hamil, mereka ini disalahkan 100%. Sedangkan jika kita lihat balik apakah salah satu punca mereka mencari cinta rakan sebaya, jawapannya ialah mereka tidak mendapat kasih sayang secukupnya di rumah. Usia remaja amat memerlukan perhatian daripada ibu bapa, mereka mahukan rasa dihargai. Bila perkara ini tidak ditemui di rumah, mereka mencarinya di luar dan apabila ada yang sanggup memberikannya, remaja-remaja ini dengan hati terbuka menerima cinta. Tak kisahlah cinta itu seikhlas hati ataupun ada helah yang tersembunyi, pada mereka cinta yang ditawarkan itu suci. Kecil tapak tangan, Stadium Bukit Jalil aku tadahkan.
Bila tiada ibu yang mengenalkan pada Al-Quran dan bapa yang merotan anak yang enggan menunaikan solat, anak-anak ini semakin jauh dari agama. Keluar rumah dengan hanya memakai spageti, rambut yang dicatkan warna-warna terang, trend begini sudah tidak asing sekarang. Betapa hancurnya hati seorang guru apabila anak didik bertanyakan “cikgu, kena bawak telekung ka nak pi kem tu nanti?”. Maksud yang tersirat di sebalik soalan itu ialah pelajar berkenaan tidak tahu bahawa solat fardhu wajib untuk ditunaikan.
Bagaimana mereka ini harus tahu sedangkan ibu bapa sendiri jarang menunaikan solat. Mana mungkin mereka faham menutup aurat itu wajib apabila ibu berpakaian ketat dan mendedahkan rambut pada masyarakat. Saya berhujah berdasarkan pemerhatian, pelajar saya bertudung (alhamdulillah) sedangkan ibu yang menghantarnya tidak.
Mencari dan memberi nafkah itu sebuah tanggungjawab yang wajib dilunaskan setiap ibu bapa. Tapi ingatlah juga memberikan didikan kepada anak-anak ialah tugas hakiki yang akan dipersoalkan di Mahsyar nanti. Jangan terlalu leka mengejar kertas-kertas berwarna yang tertulis angka, hingga kita mengabaikan kewajipan utama sebagai ibu bapa.
